IOC-Trophy-2018

Majlis Olimpik Malaysia (OCM) telah memilih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai penerima Anugerah Trofi IOC 2018 “Olympism in Action”.

BAM telah ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1934. Selaku badan induk untuk sukan Badminton, BAM bertanggungjawab untuk mempromosi serta membangunkan sukan Badminton di Malaya (kemudian Malaysia). Sukan Badminton telah berkembang menjadi salah satu sukan yang sangat popular di semua lapisan masyarakat di bawah pimpinan BAM sejak penubuhannya.

Ekoran daripada kesungguhan tersebut, Malaya telah berjaya muncul sebagai juara Piala Thomas sebanyak 3 kali berturut-turut pada tahun 1949, 1952 dan 1955.

BAM turut memainkan peranan utama dalam melahirkan jaguh-jaguh Badminton tanah air dalam setiap dekad seperti Eddy Choong (1950an), Wong Peng Soon (1950an), Tan Aik Huang (1960an), Tan Yee Khan (1960an), Ng Boon Bee (1970an), Punch Gunalan (1970an), Sylvia Ng (1970an), Misbun Sidek (1980an), Razif Sidek-Jalani Sidek (1980an), Rashid Sidek (1990an), Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1990an), Lee Chong Wei (2000an), Goh V Shem- Tan Wee Kiong (2000an), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (2000an) dan ramai lagi.

Pembangunan mampan yang diusahakan oleh BAM selama ini telah membuahkan hasil yang amat membanggakan di mana Razif Sidek-Jalani Sidek telah memenangi pingat gangsa dalam Temasya Sukan Olimpik Barcelona 1992, Rashid Sidek serta Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock telah memenangi pingat gangsa dan perak dalam Temasya Sukan Olimpik Atlanta 1996, Lee Chong Wei telah memenangi pingat perak dalam 3 Temasya Sukan Olimpik berturut-turut iaitu Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga telah memenangi pingat perak dalam Temasya Sukan Olimpik Rio 2016.

Selain itu, generasi muda Goh Jin Wei juga telah berjaya menjadi Juara Remaja Dunia pada tahun 2015, Juara Temasya Sukan Asia Tenggara pada tahun 2017 dan Juara Remaja Dunia buat kali kedua pada tahun 2018. Beliau turut menyumbang pingat emas dalam Temasya Sukan Olimpik Remaja Ke-3 Buenos Aires 2018 baru-baru ini. Kejayaan tersebut telah tercatat dalam Malaysia Books of Records sebagai warga Malaysia yang pertama untuk memenangi pingat emas dalam Temasya Sukan Olimpik Remaja.

BAM turut mendukung Pergerakan Olimpik dan Komanwel yang diterajui oleh OCM selama ini dengan penyertaan dalam kesemua Temasya Sukan dibawah pengelolaan OCM seperti Temasya Sukan Olimpik, Temasya Sukan Komanwel, Temasya Sukan Asia dan Temasya Sukan Asia Tenggara. Atlet-atlet Badminton juga sentiasa menyumbangkan pingat dalam kesemua Temasya Sukan tersebut. Tambahan itu, 3 orang Presiden BAM telah terpilih untuk menganggotai Lembaga Eksekutif OCM sejak 1960an, mereka adalah Tan Sri Khir Johari (Naib Presiden OCM tahun 1968-1982 dan Timbalan Presiden OCM tahun 1982-2002), Dato’ Dr. Abdullah Fadzil Che Wan (Naib Presiden OCM tahun 1998-2000) dan Dato’ Sri Mohamad Norza Zakaria (Timbalan Presiden OCM tahun 2015-2018 dan Presiden OCM mulai tahun 2019