SUSAN LOH SU FANG

Penglibatan Puan Susan Loh Su Fang dalam sukan Hoki Ais bermula sejak tahun 1999 apabila beliau menubuhkan Kelab Hoki Ais yang pertama di Malaysia, iaitu Kelab Hoki Ais Saga.

Beliau juga telah menganjurkan Liga Hoki Ais yang pertama di Malaysia sejak tahun 1999.

Puan Susan Loh Su Fang adalah salah seorang ahli pengasas dalam penubuhan Persekutuan Hoki Ais Malaysia pada tahun 2008. Beliau telah terpilih untuk menjawat jawatan Setiausaha Kehormat Persekutuan sejak tahun 2008 hingga 2017. Beliau terpilih sebagai Naib Presiden Persekutuan Hoki Ais Malaysia mulai tahun 2018.

Sukan Hoki Ais telah berkembang menjadi sangat popular di bawah pentadbiran beliau hampir 20 tahun yang lepas. Prestasi Pasukan Hoki Ais Kebangsaan telah menunjukkan peningkatan yang drastik apabila layak untuk bertanding dalam Kejohanan Hoki Ais International Ice Hockey Federation (IIHF) Challenge Cup of Asia untuk tahun 2008, 2009, 2010, 2012, 2014, 2015, 2016 dan 2018.

Pasukan Hoki Ais Kebangsaan juga telah menyertai Temasya Sukan di bawah pengelolaan Majlis Ooimpik Malaysia iaitu Temasya Sukan Asia Musim Sejuk Ke-6 Changchun 2007, Temasya Sukan Asia Musim Sejuk Ke-7 Astana-Almaty 2011, Temasya Sukan Asia Musim Sejuk Ke-8 Sapporo 2017 dan Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-29 Kuala Lumpur 2017.

Walaupun Malaysia adalah sebuah negara tropika, tetapi pencapaian Pasukan Hoki Ais Kebangsaan telah mengejutkan banyak negara musim sejuk. Pasukan Hoki Ais Kebangsaan pernah memenangi pingat perak dalam Kejohanan Hoki Ais International Ice Hockey Federation (IIHF) Challenge Cup of Asia tahun 2008 dan berjaya menjuarai kejohanan tersebut 10 tahun kemudian iaitu pada tahun 2018.

Sumbangan Puan Susan Loh Su Fang dalam pembangunan sukan Hoki Ais di peringkat kebangsaan dan antarabangsa telah mendapat pengiktirafan yang tinggi dengan pelantikan beliau sebagai Ahli Jawatankuasa International Ice Hockey Federation (IIHF) untuk penggal 2016 hingga 2020.