TOK PUAN ZAINON DATO’ HUSSEIN

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah memilih Tok Puan Zainon Dato’ Hussein sebagai penerima Anugerah Wanita dan Sukan MOM bagi tahun 2019.

Penganugerahan ini adalah untuk mengiktiraf jasa dan sumbangan Tok Puan Zainon Dato’ Hussein dalam pembangunan sukan, khususnya dalam sukan Hoki Wanita di dalam negara.

Beliau telah dipilih sebagai Yang DiPertua Persatuan Hoki Wanita Malaysia (PHWM) mulai 1973 hingga 1986. PHWM dibawah pimpinan beliau telah mengusahakan pelbagai program pembangunan serta mempertingkatkan penyertaan wanita dalam sukan hoki. Sepanjang pimpinan beliau, PHWM telah memperkenalkan Kejohanan Hoki Wanita Kebangsaan untuk merebut Piala Tengku Budriah. Malaysia telah menyertai Kejohanan Hoki Piala Dunia pertama yang dianjurkan oleh “International Federation of Women’s Hockey Association (IFWHA)” pada tahun 1975. Malaysia turut menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Hoki Piala Dunia Ke-3 pada tahun 1983.

Beliau telah mencetuskan idea untuk menubuhkan “Federation of Asian Ladies Hockey Association (FALHA)” pada tahun 19785 dan terpilih sebagai Presiden pertama (FALHA) hingga 1986. Salah satu sumbangan besar beliau adalah kejayaan menyenaraikan sukan Hoki Wanita dalam program sukan Temasya Sukan Asia. Hoki Wanita telah dipertandingkan di dalam Temasya Sukan Asia Ke-9 Delhi 1982, di mana Pasukan Hoki Wanita Malaysia telah berjaya memenangi sebutir pingat gangsa.

Selain itu, PHWM turut berjaya menyenaraikan Hoki Wanita dalam program sukan Temasya Sukan Asia Tenggara serta Temasya Sukan Komanwel pada 1998. PHWM telah mendapat Anugerah Wanita dan Sukan IOC (Trofi Asia) pada tahun 2001 berdasarkan daya usaha mereka untuk mempromosikan Hoki Wanita di Rantau Asia.

PHWM telah menjadi ahli gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 1974 dan menganggotai “International Hockey Federation (FIH)” pada 1976. PHWM kemudian bergabung dengan Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) untuk membentuk Kofenderasi Hoki Malaysia (KHM) pada 2005.

Selain itu, beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Institut Pengurusan Wanita (Women Institute of Management) sejak 1964, di mana beliau berusaha untuk membentuk imej positif wanita serta mempromosikan kepimpinan wanita dalam semua sektor.