Siaran Media Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-31 Vietnam 2022 - Olympic Council of Malaysia Olympic Council of Malaysia


Siaran Media Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-31 Vietnam 2022



KUALA LUMPUR (13 MAC) – Seramai 818 orang (612 orang atlet dan 206 orang pegawai) telah didaftarkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebaik sahaja tarikh tutup pendaftaran berdasarkan nama (Entry by name) tutup semalam (12 Mac). Daripada 818 orang ini, seramai 226 orang atlet adalah di bawah Kategori A dan seramai 386 orang adalah di bawah Kategori B. Bagi pegawai pula, seramai 102 orang berada di bawah Kategori A dan 104 orang di bawah Kategori B. Jumlah keseluruhan atlet lelaki adalah seramai 377 orang (62%) dan atlet wanita seramai 235 orang (38%), manakala jumlah pegawai lelaki adalah seramai 175 orang dan 31 orang pegawai wanita.

Sukan-sukan yang sebelum ini menetapkan 12 Mac sebagai tarikh akhir penamaan atlet telah memuktamadkan penamaan atlet mereka. Antara sukan yang terlibat adalah Olahraga yang telah menamakan 23 orang atlet lelaki dan 14 orang atlet wanita (18 orang di bawah Kategori A dan 19 orang di bawah Kategori B), Sukan e-sports menamakan 47 orang atlet lelaki yang akan bertanding di bawah Kategori B untuk 6 acara (Games Title) dan 4 orang atlet lelaki di bawah Kategori A untuk acara Fifa Online 4 di bawah kelolaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Sukan Mendayung menamakan seorang atlet lelaki yang telah berjaya melepasi ujian masa yang ditetapkan. Sukan Renang telah menamakan 11 orang atlet lelaki dan 3 orang atlet wanita (3 orang di bawah Kategori A dan 11 orang di bawah Kategori B). Sukan Kanu juga menyenaraikan 4 orang atlet lelaki dan 2 orang atlet wanita (1 orang Kategori A dan 5 orang Kategori B) yang telah layak setelah melepasi ujian masa yang ditetapkan.

Kontinjen Malaysia akan menyertai 37 jenis sukan daripada 40 jenis sukan yang akan dipertandingkan di Vietnam nanti. Tiga jenis sukan yang tidak akan disertai oleh Malaysia adalah Bola Baling, Vovinam dan Gusti (Wrestling).

MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
13 MAC 2022


Commercials